Mula-mula saya menjejakkan kaki ke Mesir dahulu, video di bawah saya tontoni di komputer seorang sahabat. Semangat saya untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia bersama para ulama meluap-luap. Saya terus jatuh cinta dgn Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, lantas menggali dan mencari khazanah ilmu beliau serta mengenali dengan lebih dekat dengan beliau.
Alhamdulillah, selepas beberapa bulan, ketika kunjungan saya dan beberapa orang sahabat ke maqam beliau di Mit Ghamr (tak jauh dari Mansurah, Mesir), kami diberi penghormatan untuk duduk ekslusif di dalam maqam bersama anak beliau yang paling rapat dan mewarisi beliau, Syaikh Abdul Rahim, dan penulis ensiklopedia Syaikh Sya’rawi. Dari kedua mereka saya dapat pelbagai input berguna tentang Syaikh Sya’rawi. Hubungan kami tidak terhenti dengan ziarah maqam tersebut, malah berlanjutan selepas itu.
Saya mendapat input, khususnya dari Syaikh Abdul Rahim, tentang kesufian Syaikh, tawadhu’nya, peranan beliau dalam demonstrasi Kem David, peranan beliau dengan kerajaan Anuar Sadat, kebangkitan rakyat di Algeria, penghormatan rakyat Mesir kepada beliau, dan pelbagai lagi kisah yang umum tidak mengetahui. (InsyaAllah jika berkesempatan, suatu hari nanti saya ingin mencurahkannya di dalam tulisan).
Cuba lihat video di bawah sehingga tamat. Lihat bagaimana di hujung klip, beliau menasihati Presiden Muhammad Husni Mubarak yang terkenal diktatornya, tanpa sedikit pun rasa gentar, malah memegang bahunya, seperti seorang ayah menasihati anak. Beginilah ulama’ pejuang, sufi lagi haraki, yang sentiasa kita cari sepanjang zaman
Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata? “..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)
Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia. Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga). Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.
Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita!(Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata;) “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..”.
Ulama’ mesti sentiasa berkata benar tak kira pada siapa, dan memahami kepentingan dakwahnya. Mana lebih patut didahulukan dari yang lain. Ada yang mengatakan kepada saya ulamak mestilah non-partisan dan bersikap bebas. Saya katakan, jika ulama’ tidak berpihak kepada kebenaran dan tidak menzahirkannya, bagaimana masyarakat umum boleh mencontohi dan mendukung kebenaran? Maka ulama mesti partisan. Ulamak mesti menunjukkan sokongan. Mesti menzahirkan “pihak”nya. Iaitu pihak kebenaran. Pihak yang memperjuangkan Islam, dan membenteras keboborokan kezaliman pemerintah.
|
No comments:
Post a Comment