Pages


Saturday, December 19, 2009

Contohi sastera al Quran

AL-QURAN memang sepatutnya menjadi panduan utama kehidupan seorang muslim kerana ia lengkap dengan segala bidang ilmu termasuklah ilmu sastera. Keluasan dan kehebatan ilmu al-Quran ini terbukti dengan adanya karangan para sarjana dan pengkaji al-Quran yang tidak putus-putus sejak dulu hingga kini.

Selain Malik Bennabi dengan Fenomena al-Quran, ada juga Profesor Fazlur Rahman dengan Major Themes of the Quran, Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti mengarang Adwa' al- Bayan fi Iddah al-Quran bi al-Quran, Membumikan al-Quran: Fungsi Dan Peran Wahyu Dalam Kehidupan Masyarakat oleh Muhammad Quraish Shihab, Kunci Mengenal al-Quran oleh Zulkifli Mohd. Yusoff dan seorang sasterawan terkenal Malaysia, Malim Ghozali PK turut menghasilkan sebuah karya besar yang mengkaji al-Quran dari kacamata sains berjudul Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan.

Manakala karya-karya klasik yang khusus membicarakan al-Quran telah begitu banyak dihasilkan oleh para ulama silam antaranya Al-Itqan fi Ulum al-Quran oleh Imam al-Sayuti, Tafsir al-Quran al-Azim karya Imam Ibn Kathir, Al-Kashsyaf dikarang oleh Imam al-Zamakhsyari, Imam Fakhruddin al-Razi menulis Mafatih al-Ghayb (Tafsir al-Kabir), Al-Jami' li Ahkam al-Quran dikarang oleh Imam al-Qurtubi, Imam al-Ghazali menulis Jawahir al-Quran, Ruh al-Ma'ani oleh Imam al-Alusi, Imam Ibn Atiyah mengarang Al-Muharrir al-Wajiz fi Tafsir Kitabullah al-Aziz dan banyak lagi.

Menurut Dr. Adnan Zarzur yang menganalisis karya Ibn Taimiyyah, walaupun hadis ini marfu' dan sanadnya adalah majhul (tidak dikenal) tetapi teksnya adalah elok dan maknanya pula adalah betul.

Seorang sarjana ulung Islam, Malik Bennabi menyebutkan dalam karya besarnya Fenomena Al-Quran tentang keluasan ilmu dan kepelbagaian tema di dalam al-Quran yang mencakupi pelbagai bidang dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Dalam karya yang sama Malik Bennabi turut mengakui bahawa 'mukjizat' sastera (al-Quran) sebenarnya menawan cendekiawan sastera pada zamannya.

Dan salah satu ilmu yang dapat kita pelajari serta contohi daripada al-Quran ialah kehebatan dan keindahan kesusasteraannya. Kehebatan kesusasteraan al-Quran ini wajar dimanfaatkan oleh para penulis Islam yang menghasilkan karya sastera untuk menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Yang pasti kisah dalam al-Quran sememangnya benar, merupakan sebaik-baik kisah dan ia paling berkesan. Perhatikan saja bagaimana baik dan indahnya kisah Nabi Yusuf a.s. dalam Surah Yusuf. Ketika mentafsirkan ayat 3 dalam Surah Yusuf yang bermaksud, "Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu," Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir menyatakan bahawa ini kerana ianya mengandungi ketinggian dalam sastera dan intipati yang penuh sempurna.

????

Manakala dalam Surah Al-Kahfi pula kita dapat mempelajari satu sifat kesusasteraan al-Quran yang sangat penting iaitu ia tidak membicarakan sesuatu yang tidak penting, tidak ada faedah dan juga remeh-temeh. Ibn Taimiyyah menukilkan dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir antara perkara yang tidak ada faedah itu ialah seperti nama pemuda ashab al-kahfi, warna anjing ashab al-kahfi dan juga jumlah bilangan mereka. Di negara manakah terletaknya gua ashab al-kahfi itu juga tidak diberitahu kerana ia termasuk dalam hal yang tidak penting dan tidak ada manfaat. Iktibar yang besar daripada kisah hebat dalam surah ini kepada para penulis ialah perlunya seorang penulis dan juga pengarang karya kreatif itu hanya menulis sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja dalam karya-karyanya. Janganlah dikotorkan karya kita dengan perkara merepek dan tidak memberi faedah kepada pembaca.

Tapi perkara yang penting dan mempunyai banyak faedah pula disebutkan dengan jelas dalam kisah ashab al-kahfi ini seperti bagaimana cara mereka tidur dan juga keadaan tidur mereka. Bagaimana cara Allah memelihara tidur mereka bagi membolehkan mereka kekal tidur selama lebih 300 tahun juga diperincikan dengan nyata.

Tempoh masa mereka tidur ini sangat penting bagi membuktikan kekuasaan Allah yang mampu melakukan segala-galanya termasuklah hal yang tidak pernah terlintas dalam akal fikiran manusia hinggakan mereka sendiri menyangka bahawa mereka hanya tidur sekadar sehari atau separuh hari sahaja. Ini tertera jelas dalam sebahagian ayat 15 surah tersebut, "Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur."

Kesusasteraan al-Quran juga menggunakan bahasa perumpamaan yang begitu indah dan mengagumkan untuk dijadikan iktibar kepada pembacanya. Renungkan saja bagaimana al-Quran menggunakan binatang sebagai objek perumpamaan bagi menerangkan sesuatu keadaan agar lebih difahami manusia. Binatang yang dijadikan alat perumpamaan itu antaranya ialah seperti anjing, lalat, labah-labah dan juga keldai. Lihat saja betapa benarnya perumpamaan al-Quran ini kerana memang kita tidak pernah menemukan sarang yang lebih reput daripada sarang labah-labah. Sebagai penulis yang mencontohi kesusasteraan al-Quran kita sewajarnya memikirkan perumpamaan yang cerdik dan membijaksanakan pembaca dalam karangan-karangan yang mahu kita hasilkan.

Antara ciri lain lagi bagi kesusasteraan al-Quran ialah gaya perulangannya yang berpatutan, bersesuaian dan mengasyikkan. Ada kisah yang disebut hanya sekali dalam al-Quran dan ada yang diulang beberapa kali dengan tidak membosankan kerana ia bersebab dan mempunyai alasan yang sangat wajar. Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin menghuraikan tentang perkara ini, "Terdapat kisah al-Quran yang disebut sekali sahaja seperti kisah Luqman dan Ashab al-Kahfi. Ada pula kisah yang berulang mengikut keperluan dan maslahah (manfaat). Kisah-kisah ini diulang dalam olahan yang berbeza-beza, ada yang panjang, pendek, keras, lembut dan menerangkan sudut-sudut yang tidak disentuh pada tempat lain." Syeikh Soleh turut menyenaraikan hikmah di sebalik perulangan kisah-kisah tersebut antaranya ialah untuk menerangkan betapa pentingnya kisah itu, menekankan kisah itu supaya kekal dalam sanubari manusia, mengambil kira zaman dan keadaan para pendengar, menjelaskan kesusasteraan al-Quran yang dapat menonjolkan kisah-kisah ini dalam dua bentuk yang lain mengikut keadaan dan menonjolkan ketepatan dan kebenaran al-Quran serta pengesahan bahawa ia datang daripada Allah apabila kisah-kisah ini berulang-ulang tanpa percanggahan.

Beberapa ciri penting kesusasteraan al-Quran ini sangat wajar untuk diteladani oleh setiap penulis Islam yang telah sedia mengakui kehebatan al-Quran itu sendiri. Kepada sasterawan Islam yang melupakan al-Quran sebagai asas penulisannya, kita wajar bertanya apakah ada karangan lain yang lebih baik daripada al-Quran untuk dijadikan dasar pedoman oleh seorang penulis Islam?

No comments:

Post a Comment