Saturday, December 19, 2009

Rangka manusia purba


WASHINGTON 18 Dis. - Penemuan satu rangka berusia 4.4 juta tahun yang juga nenek moyang keturunan manusia, merupakan kejayaan saintifik terhebat bagi tahun ini, menurut jurnal berprestij, Science semalam.

Fosil tersebut yang dinamakan Ardi, mengungguli senarai 10 kemajuan saintifik terhebat tahun ini, yang turut merangkumi penemuan air di bulan dan penggunaan kepingan atom karbon paling nipis dalam eksperimen peralatan elektronik.

Ardi atau Ardipithecus ramidus merupakan bahan kajian yang diperiksa dengan cermat dan teliti oleh sekumpulan ahli antropologi selama 15 tahun, yang menyifatkan penemuan di Ethiopia itu menyediakan satu gambaran yang tidak diceritakan berhubung perkembangan manusia.

Pada usia 1.2 juta tahun lebih tua daripada Lucy, nenek moyang manusia tertua yang ditemui sebelum ini, Ardi membantu menghapuskan mitos popular tentang persamaan langsung antara manusia dengan beruk moden.

Kebanyakan ciri-ciri yang ditemui pada tengkorak, gigi, tulang pelvis, tangan dan kaki Ardi menunjukkan beruk Afrika itu telah berkembang dengan pesat selain berkongsi keturunan nenek moyang yang sama dengan manusia.

Ia turut menghentikan harapan untuk menemui kaitan yang hilang antara manusia dengan beruk moden.

"(Ardi mengubah cara kita berfikir tentang perkembangan manusia,'' kata Bruce Alberts, editor jurnal Science.

Antara perkembangan lain yang disenaraikan jurnal tersebut adalah penemuan bintang-bintang 'pulsar' oleh teleskop Fermi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) termasuk satu yang terletak 4,600 tahun cahaya daripada bumi.

Bidang astrofizik menyaksikan dua lagi penemuan yang disenaraikan dalam jurnal Sains termasuk penemuan ais batu oleh NASA di bulan.

NASA turut dipuji jurnal Science ekoran kejayaan membaik pulih teleskop angkasa lepas Hubble, yang berperanan menyediakan imej alam semesta. - AFP

No comments:

Post a Comment