Pages


Thursday, May 24, 2012

Nikah Awal atau Kahwin Muda

Seringkali berita-berita yang dipaparkan di muka depan Harian Metro ataupun Kosmo mengenai gejala anak luar nikah dan sebagainya menyebabkan hati ana dan umat Islam yang lain sentiasa gundah-gulana. Adakah ini imej Islam yang kita nak tunjukkan kepada orang not-yet Muslim? Namun alhamdulillah, dewasa ini makin ramai yang serius untuk bercinta dan meletakkannya di landasan yang tepat lagi baik, iaitu pernikahan, tak kiralah samada nikah seperti biasa ataupun nikah gantung. Itu satu perkembangan yang baik buat rakyat Malaysia, umat Islam khususnya. Ana harap perkembangan tentang kahwin muda atau nikah awal ini adalah satu cara yang positif lagi baik dalam kita menangani masalah ini!

“Wahai para pemuda! Sesiapa diantara kalian mampu untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukan pandangan, dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa, kerana puasa itu dapat membentengi dirinya”. (Hadith Sahih Riwayat Bukhari, Muslim)

CINTA ITU FITRAH!

Cinta itu adalah fitrah dan Islam sama sekali tidak pernah menghalang untuk kita bercinta, malah Islam menyediakan landasan untuk kita bercinta. Allah, al-khaliq, pencipta segala makhluk, Dialah yang paling tahu apa landasan terbaik untuk manusia bercinta. Sebagaimana Allah mengaturkan peredaran langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan matahari, apatah lagi dalam perkara semudah cinta, takkan Allah tak mampu mengaturnya? Na’uzubillahi min zaalik.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu semua (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (sunnah-sunnahku),  nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosamu“. [Surah Ali 'Imran : 31]


Saudara-saudari pembaca yang mencintai Allah sekalian, apakah sunnah yang Nabi shallallahu `alaihi wa sallam bawakan dan ajarkan kepada kita untuk melalui dan menikmati fitrah cinta dan berkasih-sayang sesama manusia yang berlainan jantina? Sudah semestinya nikah. Ya, nikah!

MUDA SANGAT UNTUK BERNIKAH?
Kalau di saat muda ramai yang berzina, apa salahnya untuk bernikah di saat muda? Tidak pernah ada penetapan di dalam Islam di usia berapakah kita patut berkahwin. Bahkan di dalam hadis shahih al-Bukhari dan Muslim di atas, cara yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam untuk para pemuda menundukkan pandangan dan memelihara faraj (kemaluan) adalah dengan bernikah. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan masyarakat kita yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan, jika tidak di alam nyata, ia berlaku di alam maya. Ketika mudalah masa yang paling sesuai untuk bernikah kerana di saat itulah banyak godaan syahwat melalui pandangan dan suasana.

Malah, dengan bernikah itulah mampu menyempurnakan separuh dari agama kita sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam :

“Sesiapa yang bernikah, maka ia telah melengkapkan separuh daripada agamanya. Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi” [HR at-Thabrani dan Hakim]

SAYA MISKIN, BAGAIMANA NAK BERNIKAH?

Perkataan ini adalah perkataan yang batil, kerana bertentangan dengan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam. Allah memerintahkan untuk berkahwin, dan seandainya mereka fakir ayau miskin pasti Allah akan membantu dengan memberi rezeki kepadanya. Allah menjanjikan pertolongan kepada orang yang bernikah, berdasarkan firman Allah subhanahu wa ta’ala:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui” [Surah an-Nur : 32]

Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam menguatkan janji Allah itu dengan sabdanya :

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka, dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya“. [HR Ahmad, Nasa'i, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim]

KAHWIN BOLEH MENGGANGGU PELAJARAN SAYA


Kalau inilah hujjah yang anda keluarkan, ana yakin dan pasti anda tidak akan berkahwin sampai bila-bila. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Bila anda dah mula bekerja, keluar pula alasan seperti kahwin mengganggu kerja, tidak cukup duit, pekerjaan tidak stabil dan beribu alasan yang tak munasabah! ana suka untuk memetik ulasan Syaikh Soleh al-Fauzan hafizahullah :

“Adapun jika dikatakan: Perkahwinan awal akan menyibukkan (pelajar) daripada menghasilkan ilmu dan belajar; (pernyataan) ini TIDAK boleh diterima bahkan yang sebetulnya adalah SEBALIKNYA, kerana selama mana perkahwinan itu akan memberikan kelebihan-kelebihan yang kami sebutkan di antaranya ketenangan dan ketenteraman, kestabilan jiwa dan pencerahan mata, maka ini antara perkara yang dapat  membantu pelajar untuk mendapat ilmu kerana jika jiwanya stabil, fikirannya bersih daripada kerunsingan maka ini membantunya mendapat ilmu, adapun jika tidak berkahwin maka inilah sebenarnya menghalang dia dengan apa yang dia kehendaki daripada mendapat ilmu kerana dia berada dalam keadaan fikiran yang terganggu, jiwa tidak stabil, tidak berupaya untuk menuntut ilmu, tetapi jika dia berkahwin dan tenang fikirannya, stabil jiwanya, mendapat rumah yang boleh dia berlindung dalamnya, dan mempunyai isteri yang melunakkannya dan membantunya maka ini membantunya memperoleh ilmu, maka perkahwinan awal jika dimudahkan Allah dan menjadi perkahwinan yang sesuai maka ini antara perkara yang memudahkan seorang pelajar menuju ke arah memperoleh ilmu bukan seperti mana yang digambarkan bahawa perkahwinan menghalangnya”.
PENUTUP

Ana merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah subhanahu wa ta’ala kerana sejak kebelakangan ini mahasiswa semakin sedar tentang hakikat indahnya perkahwinan dan menolak pacaran atau dalam bahasa mudahnya, “couple“. Sesungguhnya Islam itu ad-Din yang mudah dan sesuai diamalkan sepanjang zaman. Allahu a’lam.

p/s : Nasihat ini adalah untuk sahabat-sahabat yang rasa dirinya tidak boleh hidup tanpa lelaki . Ana ni boleh lagi, jadi Ana terkecuali. Hehe, apa pun, Ana menyerahkan kepada Allah untuk menentukan samada ana kahwin awal atau lambat. Ada jugak sikit-sikit perasaan nak kahwin awal tu, tapi perasaan tu terpadam bila makin cuba mendalami agama, kerana semakin banyak belajar, semakin Ana sedar akan kejahilan saya dan jauhnya saya dari Islam yang shahih.

No comments:

Post a Comment