SAN FRANCISCO 18 Dis. - Saintis telah berjaya buat pertama kalinya merakamkan gunung berapi dasar laut yang sedang meletus dan memperlihatkan gelembung lahar meletus 1,200 meter di dasar Lautan Pasifik.
Sebuah robot menyelam digunakan untuk rakaman tersebut yang dibuat pada Mei lalu dalam satu ekspedisi dasar laut dekat Samoa dan video berdefinisi tinggi mengenainya ditayangkan di persidangan geofizik di San Francisco semalam.
Saintis berharap imej, data dan sampel yang diperoleh daripada misi itu akan memberi pengetahuan baru tentang bagaimana kerak bumi terbentuk.
Penyelidikan juga akan membantu menjelaskan bagaimana beberapa hidupan laut dapat hidup dalam persekitaran yang ekstrem dan cara bumi bertindak balas apabila plat tektonik bergeser.
"Oleh kerana tekanan air pada kedalaman itu menekan kekuatan letusan gunung berapi, kami dapat menggerakkan robot selaman beberapa meter daripada letusan yang sedang berlaku," kata pakar marin geologi dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Bob Embley dalam satu kenyataan.
Letusan itu adalah menakjubkan di mana buih merah menyala lahar keluar dari gunung berapi bersama kepulan sulfur.
Lahar itu membeku serta-merta menjadi batu hitam yang jatuh kembali ke dasar laut. Robot itu berada di kawasan sekitar dan lengan robotiknya mengambil sampel lahar.
Saintis bumi dan lautan berkata, letusan itu buat kali pertama membuka peluang melihat sendiri bagaimana terbentuknya bahan yang dipanggil boninite, yang sebelum ini hanya ditemui dari sampel berusia sekurang-kurangnya sejuta tahun.
Dahulu lahar boninite ini hanya berada di gunung berapi mati dan penemuan ini membuatkan penyelidik berasa teruja.
Misi untuk merakamkan letusan gunung berapi bawah laut telah mengambil masa 25 tahun.
Walaupun 80 peratus aktiviti gunung berapi adalah di laut, saintis dari NOAA dan Yayasan Sains Kebangsaan tidak pernah melihat sendiri lebih dekat proses ini.
Ketua saintis dalam misi ini, Joseph Resing, tahun lalu mengesan bahan gunung berapi di perairan berhampiran gunung berapi West Mata, 225 kilometer dari barat daya Samoa. Mei lalu, penyelidik tiba di kawasan itu dengan robot mampu menyelam yang diberi nama Jason.
Saintis mendapati air berdekatan gunung berapi itu adalah lebih berasid daripada bateri namun udang dan mikrob mampu hidup, sekali gus membuka ruang kajian baru sama ada hidupan tersebut unik kepada persekitaran gunung berapi. - AP
No comments:
Post a Comment