Sudah menjadi fitrah setiap sesuatu perkara yang baik pasti ada perkara sebaliknya yang mengekori. Ada yang halal, maka akan ada yang haram. Ada yang gembira, akan ada ketikanya duka. Ada yang dicintai, dan ada yang dibenci. Ada pertemuan, maka akan ada perpisahan.
Begitu halnya dalam bersahabat. Ada waktunya kita gembira dan ada waktunya kita bersedih. Ada waktunya kita mencintai dan ada waktunya kita menjauhi. Dan dalam kebersamaan itu akan hilang rasa khuatir dan takut. Musnah rasa gelisah dan resah jika kebersamaan dan persahabatan itu ditaut dengan iman dan taqwa.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu. Bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
Teringat saya akan kenangan semasa di sekolah dahulu. Dalam bersahabat bukan setiap masa kita gembira. Ada kalanya juga kita bertengkar. Apa yang penting setiap pertengkaran itu membuatkan kita lebih memahami satu sama lain. Lebih menghormati hak-hak masing-masing.
Bersahabat Itu Ertinya Bersatu
Teringat kata-kata Ustaz Khazri semasa saya bersekolah dahulu, “Sahabat paling rapat dengan kamu adalah sahabat yang tidak kisah soal duit. Andai kata sahabatnya kesusahan dalam soal duit, terus dihulur dompetnya kepada sahabatnya.”
Begitu katanya tentang sahabat. Ustaz Khazri Osman yang saya kenal memang bukan seorang yang lokek. Andai kata ada pelajar di asrama mempunyai masalah, dia akan cuba membantu sebolehnya. Meskipun masalah kewangan.
Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, “Perumpamaan orang-orang yang beriman yang saling cinta-mencintai, sayang-menyayangi, dan bantu-membantu di antara satu sama lain umpama sebuah jasad. Apabila salah satu anggota terasa sakit, seluruh jasad akan berasa sakit.”
Saat Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka berhenti bermalam di Gua Tsur. Abu Bakar meminta nabi tunggu sebentar di luar. Abu Bakar tahu Gua Tsur banyak dihuni oleh binatang-binatang berbisa. Abu Bakar membersihkan ruang gua tersebut dan mencarikkan kain bajunya untuk menutup beberapa lubang kecil.
Selepas dipersilakan masuk oleh Abu Bakar, Nabi Muhammad s.a.w masuk dan membaringkan tubuhnya di atas tanah dengan kepalanya berbantalkan paha Abu Bakar. Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad s.a.w tertidur.
Tiba-tiba keluar seekor ular dari lubang yang tidak ditutupi kain. Terus, Abu Bakar menutup lubang itu dengan kakinya. Lantas ular tersebut pun menggigit kaki Abu Bakar. Beliau tidak mahu menggerakkan pehanya kerana tidak mahu tidur Nabi Muhammad terganggu.
Beliau merasakan kesakitan yang amat tetapi tetap tidak berteriak, tidak mengaduh dan tidak menggerakkan kakinya. Abu Bakar menahan kesakitan sehingga tubuhnya lemah dan akhirnya beliau menangis. Titisan air matanya jatuh ke muka Rasulullah sehingga Baginda terbangun.
Inilah pengorbanan seorang sahabat yang sejati. Yang rasa cinta kepada sahabatnya begitu tinggi. Lebih daripada rasa cinta kepada dirinya sendiri.
Bersahabat Perlu Sentiasa Bersedia
Walau kadang-kadang timbul persoalan di hati saat sesuatu tidak berjalan sebagaimana yang dikehendaki. Walau kadang ada rasa tidak puas saat tidak mendapat apa yang diharapkan. Tapi, bersahabat tetap memberikan kita sesuatu yang penting iaitu tentang kehidupan.
Setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan.
Kita perlu sentiasa bersedia. Bersedia untuk berpisah. Itu fitrahnya. Soalnya cuma tinggal bila, mengapa dan bagaimana.
No comments:
Post a Comment