Ujian itu terlalu menyakitkan!
Tabiat sesuatu perjalanan kehidupan selalunya apabila semakin jauh kita melaluinya akan semakin bertambah yakin terhadap jalan itu.
Masalah dan ujian sungguhpun mudah dititip di bibir insan, tetapi ternyata ia keadaan paling sukar dihadapi dengan hati yang tenang.
Tiada manusia yang tidak sedih dan kecewa dengan masalah yang menimpa. Mana ada manusia yang mahu kebahagiaannya hilang. Namun, kita perlu sedar bahawa kehidupan bukanlah seperti apa yang kita bayangkan. Di saat bangun daripada tidur, persiapkanlah diri menghadapi bermacam risiko kehidupan.
Ada kala kita akan ketawa dan tersenyum riang.
Ada kala kita akan sedih dan ingin bersendirian.
Semuanya, hanya perlu kembali kepada Allah. Jika dibiarkan diri hanyut dalam masalah tanpa cuba mencari jalan keluar, kita akan lemas dibawa arus keduniaan. Pulanglah kepada Allah.
“Jagalah Allah, nescaya engkau akan senantiasa mendapati-Nya di hadapanmu. Kenalilah Allah di waktu lapang nescaya Dia akan mengenalimu saat kesulitan, ketahuilah bahawa apa yang ditetapkan luput darimu tidak akan pernah menimpamu dan apa yang telah ditetapkan menimpamu tidak akan pernah luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu selalu mengiringi kesabaran, jalan keluar selalu mengiringi ujian dan kemudahan itu selalu mengiringi kesusahan.” (HR At-Tirmidzi)
Ujian itu memang sakit. Tanda Allah masih sayangkan kita. Allah mahu kita sentiasa mengingati-Nya. Mahu tebus segala dosa yang telah kita lakukan. Jika tiada ujian,. maka kita tidak tahu setakat mana kesetiaan dan kepatuhan kita kepada Allah.
Dari Abul Abbas Abdullah bin Abbas RA beliau berkata :
Suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW lalu Baginda bersabda, “Nak, aku akan ajarkan kepadamu beberapa patah kata : Jagalah Allah, Nescaya Dia akan senantiasa menjagamu. Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu, dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, nescaya mereka tidak dapat mencelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu. Pena telah diangkat dan catatan-catatan telah mengering.” (HR Tirmidzi)
Sesungguhnya ujian Allah SWT itu tidak akan membebani hambaNya kerana ujian yang diberikan-Nya itu bersesuaian dengan kemampuan setiap hambaNya.
Allah SWT Maha Mengetahui bahawa ujian yang kita hadapi sekarang ini adalah ujian yang mampu kita hadapi. Segala usaha yang telah kita lakukan adalah tidak sia-sia. Kerana segala sesuatu itu pasti akan berlaku mahupun tidak berlaku hanya kerana izin Allah SWT.
Sayangnya hamba, dia akan memberi segala-galanya kepada insan yang disayang. Namun, sayangnya Dia berlainan. Dia akan memberi dalam bentuk yang cukup indah, jika aqal dapat menilai dengan iman. Moga ketemu hikmahnya dan dipermudahkan dalam segala hal.
No comments:
Post a Comment