Pages


Friday, October 14, 2011

Coretan Untuk Remaja

alt
Bismillahirrahmanirrahim...
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Esa Rabbul Jalil, pencipta alam dan seluruh makhluk-Nya, yang mengatur, mentadbir setiap perjalanan dan kehidupan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda juga para syuhada dan sekalian umat Islam.
Sesungguhnya tiada yang bermakna dalam hidup sebagai hamba-Nya melainkan untuk beribadah kepada-Nya dengan penuh redha dan rendah diri. Justeru kita berkewajipan saling mengingati dan menginsafi akan kekurangan dan kelebihan diri melainkan semuanya milik Allah S.W.T semata-mata.
Beri waktu untuk berfikir mencari diri sendiri merenung hak dan amanah yang terpikul selama kita bernafas di muka bumi ini. Kita diberi terlalu banyak ruang dan peluang untuk memperbaiki sejuta kelemahan diri sebelum nafas terhenti direntap malaikat Izrail dengan izin-Nya. Marilah wahai saudaraku, berjuang menentang nafsu yang paling hebat iaitu nafsu diri sendiri sebelum kita mengorak langkah ke medan jihad yang lebih besar demi Islam tercinta.
Wahai remaja pejuang masa hadapan...
Carilah ilmu, teroka seluruh pelusuk alam mengembara ke segenap ceruk dunia untuk mencari sebuah kehidupan yang lebih bermakna demi Islam. Mengapa anda berkobar-kobar mengejar keseronokan yang tiada berpenghujung tanpa berfikir sejenak tentang kehidupan abadi di akhirat. Bina minda untuk melakar kembali sejarah silam membongkar detik-detik kehebatan, keunggulan tokoh-tokoh ilmuwan yang meletakkan Islam di martabat paling tinggi.
Muhasabah diri anda setiap detik jangan sampai alpa dengan peranan dan tanggungjawab. Hiasi diri dengan akhlak-akhlak mahmudah dan singkirkan sifat-sifat mazmumah. Perlihatkan identiti muslim yang mulia biar menjadi ikutan dan teladan.
Renungkanlah wahai remajaku...
Dunia semakin dimamah usia semakin dekat menuju Hari Kehancuran. Tidakkah anda sudi menginsafi akan segala kekhilafan dalam diri untuk memohon keampunan daripada Ilahi. Bangkitlah mencari kebenaran, perbetulkan segala kecurangan terhadap agama hasil kelemahan sendiri. Tiada waktu lagi untuk mengejar duniawi semata-mata lalu meninggalkan ukhrawi yang menjanjikan nikmat kekal abadi. Beri peluang kepada diri memperbaiki segala kekurangan mencari kembali jalan pulang. Sesungguhnya anda pembina agama, negara masa akan datang lalu binalah dengan jiwa dan hati yang penuh sifat jati diri seorang muslim sejati.
Remaja harapan negara...
Suatu saat dan ketika anda akan mengambil alih kepimpinan negara. Anda akan diberi peluang mentadbir dunia. Tadbirlah dengan semangat anak muda berjiwa patriotik. Andalah pembangun bangsa. Bangunkan dengan nilai-nilai moraliti yang tinggi. Andalah pejuang di medan jihad. Berjuanglah menggunakan segala kudrat dan kekuatan mengharapkan kemenangan di sisi Allah S.W.T. Biar apapun gelora yang melanda hadapi dengan hati yang tenang kerana perjuangan memerlukan kesabaran dan kekuatan akal fikiran.
Justeru itu, tinggalkan segala perilaku jelek dan jangan biarkan syaitan berterusan menjadi penghalang melakukan segala kebaikan.
Selamat berjuang. Semoga kemenangan menjadi kenyataan dan anda adalah taruhannya!

No comments:

Post a Comment