Ada orang merasa malas dan letih untuk mengamalkan Islam.
Dia rasa penat. Katanya: “Islam ni susah. Itu kena buat, ini kena buat. Leceh”
Mungkin bukan seorang yang rasa begitu. Dan sememangnya, sebagai manusia yang penat dengan sesuatu yang berulang-ulang atau sesuatu yang berat perlu dilaksanakan, akan timbul dalam hatinya perasaan bosan. Akhirnya akan muncul pertanyaan: “Kenapa lah aku kena buat begini, begitu?”
Saya pun banyak berfikir berkenaan hal ini. Sebab pernah satu ketika, saya rasa lemah sampai saya berkata kepada diri saya:
“Kenapa lah aku kena solat 5 hari sekali? Sekali tak boleh?”
Dan apabila soalan itu muncul, saya tahu keimanan saya terganggu. Maka saya mencari jawapan. Bila saya mencari-cari, ah… saya jumpa.
Sebenarnya, Allah suruh buat itu dan ini dalam kehidupan kita, adalah kerana kita memerlukannya.
Allah Yang Menciptakan Kita
Satu perkara yang sering kita terlupa, tetapi kita tahu akan halnya adalah: Allah itulah Pencipta kita.
Di sini, kita dapat melihat Kenapa Allah SWT itu Maha Mengetahui. Dia juga adalah Yang Maha Bijaksana. Keagungan Allah SWT tidak akan sampai akal kita memikirkannya, dan Dia langsung tidak akan sama dengan ciptaan-ciptaan-Nya.
Pencipta, lepas itu tahu apa yang diperlukan oleh yang diciptakan-Nya.
Nampak tak di sini apa point yang hendak saya katakan?
Maksudnya, apa-apa yang Allah arahkan untuk kita, suruh kita buat itu dan ini, adalah untuk kita ini, manusia ciptaan-Nya bergerak dalam keadaan terbaik sekali. Agar hidup kita tidak berdepan dengan situasi masalah. Jadi, pendek ceritanya, Allah suruh kita buat itu dan ini adalah kerana kita perlukan benda itu.
Macam kita nak main game. Pencipta Game kata: “Game aku ni, nak main kena pakai graphic Card NVIDIA GeForce 9900 GT. Kalau tak, main dia tak bagus lah. Tersekat-sekat”
Maka, untuk main game dengan kepuasan tertinggi, kita pun beli lah Graphic Card tu, dan letakkan di dalam komputer kita.
Macam itulah analoginya kita dengan Allah SWT. Kita hendak kehidupan yang baik, maka Allah sebagai pencipta kehidupan kita kata: “Deen di sisi Aku hanyalah Islam”. Maksudnya, hendakkan kehidupan yang terbaik, manusia kena ambil Islam. Maka, kita kena lah ambil Islam. Kita ambil Islam, bukan sebab kena, tetapi sebab kita perlukan Islam untuk kehidupan yang terbaik.
Allah Maha Mengetahui.
Bagi yang menyedari
Bagi mereka yang menyedari hal keperluan ini, maka mereka akan berusaha memaksa diri mereka untuk melaksanakan apa sahaja yang Allah SWT arahkan. Hal ini kerana, mereka mengetahui bahawa, apa sahaja arahan Allah SWT adalah kerana manusia memerlukan.
Allah suruh kita solat, adalah kerana manusiamemerlukan checkpoint dalam hidup dia. Jiwa manusia perlu keluar dari dunia yang mayghul, sesak, bermasalah ini sementara, berkaunseling dengan Allah SWT, recharge semula kekuatan, kemudian masuk kembali ke dalam dunia dan mengharungi arus kehidupan. Sebab itu, 5 hari sekali solat kita, siapa yang menghayatinya, maka masalah hidupnya akan mampu dilalui dengan baik.
Allah suruh kita baca Al-Quran, kerana kita perlukan Al-Quran untuk menguatkan iman kita. Di dalam Al-Quran lah adanya aqidah kita. Kita tidak boleh nampak Allah, Rasulullah SAW pula telah wafat, maka Al-Quran sahaja wakil langit yang masih tinggal, Kalam Allah yang takkan berubah.
Allah suruh kita ambil Islam, sebab manusia perlukan satu sistem yang sempurna, lengkap, menyeluruh bagi manusia menjalani kehidupan yang baik. Akal manusia, sebagus mana pun dia mencipta satu sistem, pasti akan ada break down di mana-mana kerana mustahil akal manusia melihat sesuatu itu dengan pandangan yang sempurna kerana ia sendiri tidak sempurna dan ia sendiri ada sesuatu yang tidak dia ketahui.
Nampak?
Lagi kita tengok.
Allah suruh kita jaga hubungan dengan orang lain, sebab kita perlukan kawan, teman untuk mengharungi hidup. Allah tahu, keperluan manusia kepada ‘perkara yang terlihat’, sebab itu Dia menyuruh kita berta’aruf dan membina hubungan yang baik. Kita perlukan kesatuan untuk hidup aman damai.
Begitulah yang lain-lain. Semuanya kerana kita perlu. Manusia perlukan dan Allah tahu manusia memerlukannya, sebab itu Allah suruh manusia buat semua benda yang Dia suruh buat.
Nampak?
Kenapa kena sembah Allah?
Soalan kena ni, paling cepu mas sekali adalah Kenapa Allah kita jadikan tuhan.
Kenapa tak ambil pokok, Kenapa tak ambil batu, Kenapa tak ambil matahari?
Saya ada jawapan yang menyeronokkan.
Sebab Allah itu memang Rabb, Tuhan, Ilah kepada alam ini dan segala isinya.
Sebab hanya Allah sahaja yang mempunyai sistem lengkap, sempurna dan memenuhi kehendak manusia yang sebenarnya, seterusnya memenuhi maslahat alam seluruhnya.
Ada ke tuhan lain dalam dunia ini? Itu satu soalan.
Ada ke sesuatu yang lain(atau kalau benar ada tuhan lain pun) dalam dunia ini mampu memenuhi maslahat kehidupan insan dan alam seperti Allah SWT memenuhinya? Itu satu lagi soalan.
Kesimpulannya, kita sembah Allah SWT, sebab kita memerlukan Rabb, Tuhan, Ilahi seperti-Nya. Tanpa menjadikan Allah SWT sebagai Ilahi, Rabb, Tuhan kita, mengikuti segala arahan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, kita tidak akan mampu menjalani kehidupan ini secara sempurna.
Dan, kalau kita sempurna pun, belum tentu lagi sekeliling kita akan mengalami kesempurnaan.
Kehebatan Allah SWT adalah, Islam itu bukan untuk kepuasan individu sahaja, ia punya kaitan yang sangat banyak dengan semua yang wujud di alam ini. Tahukah Kenapa Islam ajar jaga kebersihan? Kenapa Islam ajar jangan bazir air? Kenapa Islam ajar berakhlak? Kenapa Islam ajar agar jaga masa? Kenapa Islam ajar jangan potong pokok tanpa sebab? Adakah semua itu berkaitan dengan seorang manusia sahaja? Atau semua itu ada kaitan dengan manusia lain dan alam?
Ha… cuba fikir, kaitkan semuanya, dan lihat apa hasilnya. Tidakkah dengan melaksanakan Islam, seluruh dunia akan menjadi baik? Siapa yang aturkan Islam yang serba canggih dan jauh ke hadapan ini?
Allah.
Sebab itu kita sembah Dia. Sebab kita perlukan Dia.
Penutup: Maka bukalah mata, lihatlah keperluan kita
Di sini saya suka mengajak diri saya dan anda sebenarnya, perbaiki niat kita.
Jangan rasa terpaksa. Siapa rasa terpaksa, sebenarnya dia tidak bersangka baik kepada Allah SWT. Antara sifat Allah SWT adalah adil. Allah SWT tidak pernah memungkiri janji-Nya. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Tapi, kalau kita lihat, manusialah yang sering menzalimi dirinya sendiri.
Kita lihat ya, kalau kita kena buat sesuatu sebab kita perlu, bukankah yang menyuruh kita buat itu sebenarnya amat mengambil berat, amat menyayangi dan amat mengasihi?
Allah SWT dengan pengetahuan-Nya yang tidak terjangkau oleh sesiapa pun, telah memberikan pilihan kepada kita manusia. Dia dah tunjukkan jalan untuk mencapai kesempurnaan hidup, kepuasan hidup tertinggi. Sebab itu Allah tetapkan peraturan, ada yang kena buat, ada yang kena tinggal. Tapi semuanya adalah kerana kita perlukan.
Lihatlah, duduklah, muhasabahlah. Cuba tengok balik arahan-arahan dan tuntutan-tuntutan Allah. Bukankah semua itu sebenarnya memenuhi fitrah, keperluan kita sebagai manusia?
Maka sistem apakah lagi selain sistem Allah SWT yang memenuhi keperluan kita sebagai manusia? Malah, ajaibnya, apa yang Allah suruh ini tidak sahaja membawa manfaat kepada kita sebagai individu, tetapi juga kepada kita sebagai masyarakat, dan masyarakat sebagai sebahagian daripada alam.
Sebab itulah, Islam itu adalah rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk manusia sahaja.
Bukalah mata, lihatlah.
No comments:
Post a Comment