Pages


Sunday, May 30, 2010

:Sujud lama tidak batalkan solat::


1. Dalam sujud terakhir kita digalakkan memohon doa. Jika doa kita panjang dan berdoa dalam hati (berbahasa Melayu) bermakna ketika itu tiada pergerakan mulut atau fizikal yang agak lama. Adakah ditetapkan berapa lama kita boleh berada dalam keadaan sujud itu, dan jika melebihinya, adakah terbatal sembahyang tersebut.

JAWAPAN

Kita digalakkan berdoa ketika sujud tidak kira sujud terakhir atau selainnya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w.: Waktu paling hampir antara hamba dengan tuhannya ialah ketika dia bersujud, maka perbanyakkan doa (ketika sujud), nescaya dimakbulkan. (Riwayat Muslim)

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa Baginda sentiasa memperbanyakkan tasbih, doa dan memohon keampunan daripada Allah Taala ketika sujudnya.

Imam Syafie menyarankan agar kita membaca tasbih sebanyak tiga kali ketika sujud, diikuti doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bersungguh-sungguh serta penuh pengharapan agar dimakbulkan Allah s.w.t.

Sekiranya menjadi imam dikhuatiri memberatkan makmum, jika menjadi makmum dikhuatiri tertinggal gerakan bersama imam kerana leka dengan doa dalam sujud. ( lihat, Al-Umm, Al-Syafie, 1/100)

Tiada had tempoh sujud selagi tidak terkeluar dari waktu solat tersebut. Sujud yang lama tidak membatalkan solat. Sekiranya doa yang dibaca bukan lafaz yang ma'thur (yang bukan diambil daripada hadis atau ayat al-Quran), maka bolehlah berdoa dalam apa sahaja bahasa dengan tidak melafazkannya.


Saturday, May 22, 2010

Bersahabat Ertinya Bercinta

Sudah menjadi fitrah setiap sesuatu perkara yang baik pasti ada perkara sebaliknya yang mengekori. Ada yang halal, maka akan ada yang haram. Ada yang gembira, akan ada ketikanya duka. Ada yang dicintai, dan ada yang dibenci. Ada pertemuan, maka akan ada perpisahan.

Begitu halnya dalam bersahabat. Ada waktunya kita gembira dan ada waktunya kita bersedih. Ada waktunya kita mencintai dan ada waktunya kita menjauhi. Dan dalam kebersamaan itu akan hilang rasa khuatir dan takut. Musnah rasa gelisah dan resah jika kebersamaan dan persahabatan itu ditaut dengan iman dan taqwa.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu. Bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

Teringat saya akan kenangan semasa di sekolah dahulu. Dalam bersahabat bukan setiap masa kita gembira. Ada kalanya juga kita bertengkar. Apa yang penting setiap pertengkaran itu membuatkan kita lebih memahami satu sama lain. Lebih menghormati hak-hak masing-masing.

Bersahabat Itu Ertinya Bersatu

Teringat kata-kata Ustaz Khazri semasa saya bersekolah dahulu, “Sahabat paling rapat dengan kamu adalah sahabat yang tidak kisah soal duit. Andai kata sahabatnya kesusahan dalam soal duit, terus dihulur dompetnya kepada sahabatnya.”

Begitu katanya tentang sahabat. Ustaz Khazri Osman yang saya kenal memang bukan seorang yang lokek. Andai kata ada pelajar di asrama mempunyai masalah, dia akan cuba membantu sebolehnya. Meskipun masalah kewangan.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, “Perumpamaan orang-orang yang beriman yang saling cinta-mencintai, sayang-menyayangi, dan bantu-membantu di antara satu sama lain umpama sebuah jasad. Apabila salah satu anggota terasa sakit, seluruh jasad akan berasa sakit.”

Saat Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka berhenti bermalam di Gua Tsur. Abu Bakar meminta nabi tunggu sebentar di luar. Abu Bakar tahu Gua Tsur banyak dihuni oleh binatang-binatang berbisa. Abu Bakar membersihkan ruang gua tersebut dan mencarikkan kain bajunya untuk menutup beberapa lubang kecil.

Selepas dipersilakan masuk oleh Abu Bakar, Nabi Muhammad s.a.w masuk dan membaringkan tubuhnya di atas tanah dengan kepalanya berbantalkan paha Abu Bakar. Tidak lama kemudian, Nabi Muhammad s.a.w tertidur.

Tiba-tiba keluar seekor ular dari lubang yang tidak ditutupi kain. Terus, Abu Bakar menutup lubang itu dengan kakinya. Lantas ular tersebut pun menggigit kaki Abu Bakar. Beliau tidak mahu menggerakkan pehanya kerana tidak mahu tidur Nabi Muhammad terganggu.

Beliau merasakan kesakitan yang amat tetapi tetap tidak berteriak, tidak mengaduh dan tidak menggerakkan kakinya. Abu Bakar menahan kesakitan sehingga tubuhnya lemah dan akhirnya beliau menangis. Titisan air matanya jatuh ke muka Rasulullah sehingga Baginda terbangun.

Inilah pengorbanan seorang sahabat yang sejati. Yang rasa cinta kepada sahabatnya begitu tinggi. Lebih daripada rasa cinta kepada dirinya sendiri.

Bersahabat Perlu Sentiasa Bersedia

Walau kadang-kadang timbul persoalan di hati saat sesuatu tidak berjalan sebagaimana yang dikehendaki. Walau kadang ada rasa tidak puas saat tidak mendapat apa yang diharapkan. Tapi, bersahabat tetap memberikan kita sesuatu yang penting iaitu tentang kehidupan.

Setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia. Setiap pertemuan pasti adanya perpisahan.

Kita perlu sentiasa bersedia. Bersedia untuk berpisah. Itu fitrahnya. Soalnya cuma tinggal bila, mengapa dan bagaimana.